Peranan pelajar dalam mewujudkan perpaduan melalui integrasi budaya
Nama Pensyarah : Mohd Noor Zaidi bin Mohd Zawawi
Nama pelajar : Syahirah binti Suhaimi ( 02DAT16F1076 )Nur Umairah binti A Rahman ( 02DAT16F1046 )
Izni Natasha binti Mohd Zaidi ( 02DAT16F1044 )
Nurrazirsyad bin Tarashnuddin ( 02DAT16F1131 )
Muhammad Nadzren Shah bin Kamarudin ( 02DAT16F1064 )
PERANAN PELAJAR DALAM MEWUJUDKAN PERPADUAN MELALUI INTEGRASI BUDAYA
PENGENALAN
Perpaduan membawa maksud bergabung menjadi satu atau kesatuan. Perpaduan adalah tuntutan Islam dan merupakan suatu yang makruf, manakala perpecahan pula adalah suatu yang mungkar. Perpaduan terjalin berasaskan dua ikatan iaitu perpaduan dalam kalangan masyarakat yang bersifat luaran yang berasaskan bangsa dan negara bagi memperteguh suasana dan memelihara kerukunan sosial, ekonomi dan politik negara, serta perpaduan umat Islam yang bersifat kesatuan dalaman melalui tawanan jiwa dan hati.
Kepelbagaian bangsa manusia adalah sunnatullah untuk kebaikan manusia sejagat. Islam mengiktiraf maruah dan martabat semua manusia supaya mereka bertaaruf atau saling memelihara hak-hak antara satu sama lain. Firman Allah swt dalam surah Al-Hujarat ayat 13 yang bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah-mesra antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya akan keadaan dan amalan kamu.”
Negara kita juga adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya. Perbezaan ini bukanlah alasan untuk kita berselisih, menghina dan menceroboh pihak lain. Firman Allah swt dalam surah Al-An’am, ayat 108 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”
Secara tegas, Islam menggariskan panduan tatacara hubungan antara orang Islam dan bukan Islam dalam membina kehidupan. Prinsip ini telah menjadi asas kepada peruntukan Perkara 3 dalam Perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama bagi persekutuan, tetapi dalam masa yang sama memberi ruang bagi agama-agama lain diamalkan dengan aman di negara ini. Perpaduan dalam kalangan warga negara Malaysia telah sekian lama terjalin kerana prinsip ini dipelihara dengan perasaan muhibah dan saling menghormati. Kita bersyukur kepada Allah swt kerana rakyat di negara ini dapat hidup dengan sejahtera dan harmoni atas kesedaran bahawa perpaduan membawa kekuatan dan kejayaan, sebaliknya perselisihan membawa kepada permusuhan yang mengakibatkan kehancuran negara.
KONSEP
PERPADUAN: diertikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu entiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air.
INTEGRASI: satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik.
Integrasi budaya ialah suatu proses penyatuan antara dua unsur atau lebih yang mengakibatkan terciptanya suatu keinginan yang berjalan dengan baik dan benar. Lebih lanjut jika dimasukkan ke dalam kehidupan sosial, integrasi budaya dapat diertikan sebagai suatu proses mempertahankan kelangsungan hidup masyarakat sebagai sebuah sistem.
Perpaduan sangat penting dalam sesebuah negara lebih-lebih lagi negara berbilang kaum. Hal ini demikian kerana perpaduan merupakan asas pembentukan sesebuah negara yang progresif dan maju. Pepatah ,melayu ada mengatakan bahawa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana maufakat. Pelajar merupakan seorang remaja. Remaja sebagai pewaris negara ini dan mereka memainkan peranan penting untuk memupuk semangat perpaduan. Mereka hendaklah memikul tanggungjawab besar.
Bagi Malaysia, perpaduan menjadi keutamaan yang tinggi untuk membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni yang mana dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum dan budaya serta agama. Kepentingan ini semakin terserlah apabila isu perkauman sering diperkatakan secara meluas oleh pelbagai lapisan masyarakat. Perpaduan sesama masyarakat Islam dinyatakan secara jelas di dalam Al- Quran surah Al-Imran ayat 103 yang bermaksud “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah ( agama Islam ) dan janganlah kamu bercerai-berai”.
USAHA-USAHA YANG PERLU DILAKUKAN OLEH PELAJAR BAGI MEMUPUK PERPADUAN DIANTARA KAUM
Proses mencapai sebuah perpaduan masyarakat melalui integrasi budaya bukanlah suatu yang mudah. Amalan ini perlu dipupuk sejak dari sekolah rendah lagi, bak kata pepatah jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru itu, mereka perlu diberi pendedahan sejak awal iaitu dari sekolah rendah.
Sekolah merupakan satu pusat integrasi antara pelajar pelbagai kaum. Ia bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu malah ia juga menjadi alat memupuk perpaduan di kalangan pelajar. aktivis sosial ‘integrasi di peringkat sekolah rendah adalah penting untuk perpaduan’. Untuk itu, pihak sekolah perlu mengambil pelbagai langkah agar perpaduan serta integrasi dapat dipupuk sejak dari bangku sekolah kepada pemimpin masa hadapan.
Perpaduan di peringkat sekolah dapat dicapai melalui mengadakan kurikulum yang seragam untuk semua sekolah. Kurikulum boleh dikatakan sebagai bidang pelajaran di sekolah. Menurut Mok Soon Sang, kurikulum merangkumi pengalaman kehidupan nyata dan tidak nyata yang diplih, diorganisasi dan disusun oleh sarjana pendidikan dan pakar kurikulum dengan secara teliti dan profesional, demi menjadikan pelbagai jenis aktiviti pembelajaran nyata dan tidak nyata seperti yang dijalankan dalam dan luar bilik darjah, dalam dan luar sekolah, untuk semua peringkat persekolahan.
Kokurikulum merupakan satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang terancang. Kepentingan pelaksanaan aktiviti ini setara dengan kepentingan pelaksanaan aktiviti di dalam bilik darjah kerana peranannya juga turut menjadi penyumbang dan pelengkap kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah keseluruhannya. Aktiviti-aktiviti kokurikulum membantu pelajar untuk menambah,mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang telah dipelajari di dalam bilik darjah. Peranan utama kokurikulum ialah untuk memupuk dan mengeratkan hubungan di kalangan pelajar dan juga antara sekolah dengan masyarakat. Dengan ini perpaduan mula berpucuk di kalangan pelajar dan secara langsung menuju ke arah integrasi nasional.
Sukan juga menjadi salah satu daripada alat perpaduan di peringkat sekolah. Sukan dijalankan bukan semata-mata untuk kesihatan tetapi juga untuk perpaduan di kalangan masyarakat. Matlamat utama hari sukan ialah mewujudkan persefahaman, semangat kekitaan dan perpaduan diantara pelajar-pelajar sekolah. Pada hari sukan, semua pelajar akan terlibat dalam sesuatu aktiviti permainan, perarakan dan perhiasan khemah dengan bersatupadu tanpa mengira apa-apa jua tetapi sebagai satu kumpulan yang majmuk. Ini menuju ke arah perpaduan di antara palajar-pelajar.
Program anak angkat merupakan satu rancangan pertukaran pelajar untuk sesuatu aktiviti demi kebaikan pelajar. Selalunya ia berfokuskan kepada pembinaan perhubungan yang tidak mengira agama, bangsa dan negara atau dengan kata lain menuju perpaduan. Program anak angkat dijalankan oleh pihak sekolah contohnya ke Sabah, Sarawak atau Brunei agar seseorang pelajar dapat mengenali ciri-ciri kehidupan dan kebudayaan sesuatu tempat. Dengan ini, wujudlah persefahaman dan perpaduan di antara pelajar dan penduduk sesuatu tempat. Ia juga menjurus kepada tercapainya integrasi nasional.
Perkhemahan merupakan satu aktiviti yang dijalankan oleh badan-badan beruniform seperti pengakap, pandu puteri, bulan sabit merah dan sebagainya. Tujuan utama aktiviti-aktiviti perkhemahan ini dianjurkan adalah untuk memupuk perpaduan dan membentuk integrasi di kalangan peserta-peserta perkhemahan. Semangat kekitaan akan mula berbunga apabila menjalankan aktiviti-aktiviti secara kumpulan dan berkerjasama untuk mengharungi segala cabaran semasa aktiviti. Kerjasama antara satu sama lain dan tolong-menolong akan membentuk sikap bersatupadu. Dengan ini wujudlah perpaduan di antara peserta-peserta perkhemahan yang datang dari sekolah yang berbeza, latar belakang yang berbeza dan kebudayaan berbeza.
Apabila mereka semakin meningkat dewasa, peranan mereka bertambah. Peranan pertama ialah mengambil iktibar dari peristiwa 13 Mei. Contohnya, sebagai seorang pelajar dan remaja juga hendaklah menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Hal ini demikian kerana banyak peristiwa yang berlaku dalam sejarah tanah air dapat dijadikan iktibar supaya sesuatu yang buruk dapat dihindarkan kerana tragedi 13 Mei 1969 merupakan satu detik hitam dalam sejarah yang berlaku akibat semangat perpaduan yang rapuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Ahli falsafah George Santayana mengatakan orang yang melupai sejarah akan melakukan kesilapan yang sama. Oleh itu, remaja hari ini hendaklah diterapkan dengan pengetahuan sejarah secara lebih serius. Dengan mempelajari, memahami, menghayati, dan mengambil iktibar daripada sejarah, maka mereka akan menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab, rasional, dan berhemah tinggi dalam kehidupan di dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia. Jadi remaja mestilah mengambil iktibar daripada sejarah sebagai pemangkin semagat perpaduan yang jitu.
Selain itu, sebagai seorang pelajar dan juga remaja mestilah mengasimilasikan budaya pelbagai kaum dalam kehidupan seharian. Malaysia sangat unik kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Contohnya, Kaum Melayu, Cina dan India merupakan tiga kaum yang dominan di negara ini. Selain itu, rakyat negara ini juga terdiri daripada etnik peribumi yang tidak kurang pentingnya seperti Iban, Kadazan, Dusun, Orang Asli, Pernan dan termasuk juga golongan minoriti seperti Portugis, Siam dan seumpamanya. Mereka juga mestilah sanggup untuk menerima dan mengamalkan budaya yang sesuai dengan kehidupan.Misalnya daripada perayaan, rakyat Malaysia meraikan pelbagai kaum yang tersendiri.Untuk merasai kemeriahannya, remaja mestilah turut merayakan perayaan-perayaan yang disambut oleh rakan mereka dengan hati yang ikhlas, bak kata pepatah masuk ladang kambing mengembek, masuk ladang kerbau menguak.Jelaslah, asimilasi budaya dapat mewujudkan semangat perpaduan yang ampuh dalam kalangan remaja di negara ini.
Akhir sekali, sebagai seorang remaja dan pelajar juga hendaklah mengelakkan diri daripada mementingkan diri dan bersikap etnosentrisme. Sikap etnosentrisme ialah sikap yang mementingkan kelompok etnik sendiri. Sikap seperti ini akan menjejaskan hubungan dengan kaum-kaum lagi di negara ini. Remaja perlu menghayati dan mengamalkan Gagasan 1 Malaysia yang menekankan aspek perpaduan secara tuntas ke arah pembentukan sebuah negara yang progresif. Mereka juga perlu menerima segala perbezaan yang wujud antara kaum di negara ini dengan hati yang terbuka.Contohnya, remaja tidak harus menyentuh isu-isu sensitif seperti hak istimewa sesuatu kaum yang sudah termaktub dalam perlembagaan. Mereka hendaklah mengamalkan sikap di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Jika semangat ini dapat diamalkan oleh semua remaja dan juga pelajar, nescaya negara kita akan terhindar daripada sebarang malapetaka akibat perpaduan yang rapuh.
KESIMPULAN
Bukan mudah untuk mencapai apa yang negara ini kecapi sekarang ini. Justeru itu, setiap satu warga Malaysia perlu berasa syukur di atas kejayaan yang diperoleh ini. Salah satu medium atau alat penyatuan rakyat Malaysia adalah melalui pendidikan kebangsaan. Institusi sekolah diharap bukan lagi hanya sebagai tempat untuk belajar menulis, mengira dan membaca tetapi sekolah juga berperanan untuk membimbing pelajar untuk hidup bermasyarakat dan bernegara. Kaedah ini di anggap paling efektif kerana setiap orang pasti akan melangkah ke alam persekolahan dan keadaan ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan semangat cintakan negara berdasarkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sukatan kurikulum yang bersepadu dan sistem peperiksaan awam yang seragam. Semangat patriotik hendaklah disemai dalam diri setiap kumpulan ras supaya negara kita kukuh daripada dijajah oleh anasir luar melalui pemikiran mahupun secara langsung. Negara yang maju dari segi ekonomi dan sosial mestilah bertulangbelangkang rakyat yang bersatu. Di harap kestabilan politik di Malaysia dapat dikekalkan selamanya.
Comments
Post a Comment